DALER sifatkan berbeza dengan di negaranya apabila Aidiladha disambut lebih meriah.
DALER sifatkan berbeza dengan di negaranya apabila Aidiladha disambut lebih meriah.
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon dan model Daler Yusof, 24, meluahkan rasa teruja apabila setiap kali dapat menyambut Aidilfitri di Malaysia, baru-baru ini.

Daler yang berasal dari Uzbekistan berkata, sambutan Aidilfitri di sini lebih meriah berbanding di negaranya kerana semangat meraikan hari kemenangan umat Islam itu dilakukan dengan penuh kesungguhan.

“Ini tahun kelima saya menyambut Aidilfitri di Malaysia. Bagi saya, sambutannya memang terbaik tidak kira di negeri mana sekali pun. Disebabkan itu, saya sentiasa teruja meraikannya di sini. Bukan apa, kemeriahan itu menjadikan setiap orang lebih bersemangat.

“Malah, sambutan itu lebih terasa apabila berada di setiap pusat beli-belah memasang lagu raya. Dapat dilihat juga keseronokan orang ramai menyediakan persiapan Aidilfitri termasuk baju raya, kuih raya dan beberapa kelengkapan lain.

“Di negara saya sambutannya biasa saja. Kalau di sini sepanjang Syawal suasana raya itu masih dirasai, tetapi di sana dua atau tiga hari saja. Ini kerana penduduk Islam di sana lebih teruja menyambut Aidiladha,” katanya.

Menurut Daler, sambutan kali ini bertambah meriah apabila keluarganya datang ke Malaysia.

Bagi pelakon drama Lip Lap Raya ini, itu sesuatu yang cukup istimewa selepas lima tahun menyambut Aidilfitri tanpa mereka.

“Empat tahun sebelum ini saya meraikan hari raya dengan rakan. Ketika itu memang terasa sunyi dan kosong, tetapi saya perlu akur. Namun, kehadiran rakan sedikit sebanyak menceriakan sambutan Aidilfitri saya.

“Tahun ini sambutannya lebih bermakna. Kedatangan keluarga untuk meraikan Aidilfitri bersama saya di sini adalah nikmat yang tidak terhingga. Saya sentiasa merindukan saat bermaaf-maafan pada pagi raya sebelum ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri,” katanya.

Kesungguhan Daler meraikan Aidilfitri bersama keluarganya terbukti apabila dia turut menyediakan kelengkapan raya berupa baju dan kuih raya buat mereka.

Pada hari raya pertama lalu saya bersama keluarga menyambutnya di Kuala Lumpur sebelum ke Kelantan menziarahi keluarga ibu di sana.

Selain itu, Daler turut membawa keluarganya bercuti di Pulau Pinang.

Pada minggu kedua Syawal ini Daler juga akan berlepas ke Santorini, Greece bagi menjalani penggambaran filem.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 1:16 PM