ANGGOTA keluarga menangis ketika upacara pengebumian dua polis yang ditembak mati di Sanliurfa.
ANGGOTA keluarga menangis ketika upacara pengebumian dua polis yang ditembak mati di Sanliurfa.

Istanbul: Sebuah kumpulan militan yang bersekutu dengan parti Kurdis yang diharamkan Turki menembak mati lelaki didakwa anggota Negara Islam (IS), lapor media negara itu semalam.

Lelaki dikenal pasti sebagai Mursel Gul itu dibunuh lewat Selasa lalu di Istanbul dan diakui dilaksanakan Pergerakan Revolusi Belia Patriotik (YDG-H) - sayap belia Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Dalam satu kenyataan, YDG-H berkata, Gul datang ke Istanbul beberapa bulan lalu untuk menerima rawatan selepas cedera ketika berjuang dengan IS melawan Kurdis di Kobane, Syria.

Katanya, kumpulan itu menjejak pergerakannya selama beberapa bulan dan mendakwa Gul turut merancang beberapa serangan di Istanbul.

“Kami akan meneruskan operasi terhadap geng IS dan mengenal pasti ramai daripada mereka yang akan dihukum serta dibunuh.

“Pembunuh Suruc akan diadili,” katanya.

Anatolia melaporkan pembunuh terbabit menyamar sebagai jurujual sebelum melepaskan empat tembakan ke arah Gul.

Polis antikeganasan kini menyiasat kejadian itu, namun tidak menemui sebarang kaitan antara Gul dan IS.

Sementara itu, media Turki melaporkan lelaki dikenali sebagai Ethem Turkben dibunuh sekumpulan lelaki bertopeng di rumahnya di Adana yang turut dipercayai dilakukan militan bersekutu dengan PKK.

Di Sanliurfa pula, sekurang-kurangnya tiga lelaki ditahan berhubung pembunuhan dua anggota polis antirusuhan dan antikeganasan yang ditemui mati ditembak di rumah mereka, kelmarin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 10:24 AM