Istanbul: Peperangan membabitkan militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq kini turut mengancam Turki selepas tentera udaranya bertindak mengebom pejuang Kurdis yang marah dengan keengganan Ankara menghulurkan bantuan kepada saudara mereka di Syria.

Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dalam rusuhan minggu lalu apabila penduduk minoriti Kurdis bangkit menunjukkan kemarahan terhadap kerajaan Turki kerana tidak mahu membantu mempertahankan bandar Kobane di Syria yang kini berdepan serangan IS.

Laman berita Hurriyet melaporkan pesawat pejuang Turki membedil beberapa lokasi pejuang Parti Buruh Kurdistan (PKK) di Turki kelmarin - kali pertama serangan seumpama dibuat selepas proses keamanan dimulakan di negara itu, dua tahun lalu.

Beberapa negara diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap pejuang IS yang kini menawan sebahagian besar Syria serta utara Iraq.

Kemelut baru di Turki itu menunjukkan betapa mudahnya perbalahan meletus akibat dua perang saudara membabitkan pelbagai pihak mampu melimpah ke negara lain di Asia Barat.

Ankara enggan menyertai serangan terhadap IS kecuali ia turut menyasarkan penggulingan Presiden Syria Bashar al-Assad.

Pejuang IS berusaha menawan bandar Kobane di sempadan Syria. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan kebimbangan ribuan orang dibunuh di situ sementara kereta kebal yang mengawal sempadan di sebelah Turki sekadar melihatnya tanpa menghulurkan bantuan.

Menurut Hurriyet, serangan udara berkenaan mengakibatkan kerosakan teruk terhadap PKK dan dilancarkan selepas pergerakan itu menyerang pos tentera di wilayah Hakkari, berhampiran sempadan Iraq. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:06 AM