KELUARGA seorang anggota polis yang turut terbunuh dalam pengeboman berkembar di Istanbul kelmarin memeluk keranda mangsa di majlis pengebumian, semalam.  - EPA
KELUARGA seorang anggota polis yang turut terbunuh dalam pengeboman berkembar di Istanbul kelmarin memeluk keranda mangsa di majlis pengebumian, semalam. - EPA
Agensi

Istanbul: Jumlah kematian akibat pengeboman berkembar berhampiran sebuah stadium bola sepak di sini meningkat kepada 44 semalam.

Serangan lewat kelmarin menyaksikan sebuah bom kereta diletupkan di luar stadium milik pasukan Besiktas dan seorang lelaki meletupkan dirinya di dataran berhampiran, kurang seminit selepas itu.

“Amat menyedihkan kita kehilangan 36 anggota polis dan lapan orang awam dalam keganasan kelmarin,” kata Menteri Kesihatan, Recep Akdag di Parlimen, lapor agensi berita Dogan.

Letupan juga menyebabkan 166 orang cedera.

Kumpulan serpihan parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang menggelar diri mereka Helang Pembebasan Kurdistan (TAK) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Kumpulan berkenaan sebelum ini mengaku terbabit dalam tiga serangan besar di Turki tahun ini.

Sementara itu, polis menahan lebih 200 penyokong Parti Demokratik Rakyat Kurdis (HDP) yang didakwa mempunyai hubungan dengan PKK, pertubuhan yang diharamkan kerajaan dan dianggap kumpulan pengganas, selepas serangan berkenaan.

Menurut laporan Anadolu, 20 pegawai HDP di Istanbul, termasuk ketuanya, Aysel Guzel, antara yang ditahan.

Di Ankara, 18 orang ditahan, antaranya, ketua parti itu, Ibrahim Binici.

Penahanan lain dilakukan di beberapa wilayah di selatan dan tenggara negara itu.

Kerajaan Turki berikrar untuk menghapuskan PKK dengan melancarkan beberapa operasi ketenteraan di kubu kuat kumpulan itu sejak gencatan senjata berakhir Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:05 AM