TENTERA Turki bersiap  sedia di lapangan terbang tentera  di Van untuk upacara pengebumian 16 rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan militan Kurdis, kelmarin.
TENTERA Turki bersiap sedia di lapangan terbang tentera di Van untuk upacara pengebumian 16 rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan militan Kurdis, kelmarin.
Agensi

Ankara: Tujuh belas polis Turki terbunuh dalam dua serangan berasingan oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK), semalam.

Dalam serangan pertama, pemberontak Kurdis meletupkan bom di wilayah Igdir ketika sebuah kenderaan membawa anggota polis yang mengiringi pegawai kastam melintas.

Pegawai kastam berkenaan dalam perjalanan ke Nakchivan, kawasan sempadan antara Turki dan Azerbaijan berikutan penculikan sekumpulan rakan mereka oleh pemberontak Kurdis.

Dalam kejadian kedua, tiga polis maut apabila kereta mereka diserang roket yang dilancarkan militan PKK di Cizre, bandar di tenggara Turki.

Tidak ada butir lanjut mengenai serangan berkenaan.

Sementara itu, pegawai Turki mengesahkan tentera darat negara itu menyeberang sempadan di utara Iraq untuk memburu pemberontak Kurdis.

“Ini langkah jangka pendek bertujuan menghalang pengganas melarikan diri,” kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali.

Agensi berita Dogan memetik sumber tentera yang tidak dinamakan sebagai berkata, dua batalion pasukan khas negara itu terbabit dalam operasi itu.

Terdahulu, agensi berita rasmi negara itu melaporkan jet tentera udara Turki melancarkan serangan terhadap kedudukan militan Kurdis dan juga kem mereka di utara Iraq.

Ia mendakwa 40 militan terbunuh dalam serangan berkenaan.

Serangan itu disahkan oleh agensi berita Firat yang rapat dengan militan Kurdis.

Serangan yang membabitkan 53 jet pejuang F-16 dan F-4 menyasarkan lokasi berhampiran kawasan 16 askar negara itu dibunuh Ahad lalu.

Sementara itu, tunjuk perasaan mengecam PKK diadakan di beberapa bandar di seluruh Turki semalam selepas tentera mengumumkan kematian 16 anggotanya.

Parti pro-Kurdis berkata, beberapa pejabatnya diserang dalam tunjuk perasaan berkenaan.

Lebih 200 terbunuh dalam pertempuran yang meletus semula antara PKK dengan pasukan keselamatan Turki sejak Julai lalu, termasuk hampir 100 tentera dan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 7:00 AM