HAZIQ (kanan) kini bersama skuad senior.
HAZIQ (kanan) kini bersama skuad senior.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara Arul Selvaraj tetap bertegas akan membariskan tenaga muda negara pada temasya Sukan SEA di Singapura meskipun berdepan sedikit kesukaran memilih barisan pemain.

Arul mungkin tidak dapat menyenaraikan tiga tonggak, Muhd Haziq Samsul, Meor Muhamad Azuan Hasan serta Shahril Saabah yang kini bersama skuad senior untuk persiapan ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bermula 20 Jun.

Meskipun senarai akhir barisan pemain untuk ke Belgium belum diputuskan, Arul percaya kemungkinan besar dua daripada tiga pemainnya itu akan terpilih.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya rasa ketiga-tiga berpeluang ke Belgium dan itu sememangnya perkembangan yang bagus untuk mereka.

“Tapi andai tidak terpilih, saya akan senaraikan mereka yang digugurkan untuk ke Sukan SEA.

“Saya sudah tegaskan sebelum ini, saya tidak mahu membabitkan barisan pemain senior. Kalau di Sukan SEA pun kita mahu membariskan senior, bermakna kita tidak mempunyai keyakinan terhadap pemain muda.

“Tapi jika ada masalah kecederaan, mungkin baru saya senaraikan satu atau dua pemain senior,” katanya.

Selain tiga pemain itu, Arul turut berdepan masalah apabila enam pemain yang menjalani latihan bersama skuad remaja negara ketika ini, tiada dalam senarai utama ke Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 8:54 AM