Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki senior negara Tai Beng Hai memberi jaminan tidak akan mensia-siakan tiga pemain skuad remaja yang kini berada dalam skuadnya untuk pemilihan ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bermula 20 Jun.

Jelas Beng Hai, tiga pemain berkenaan iaitu Shahril Saabah, Muhd Haziq Samsul serta Meor Muhammad Azuan Hasan mempunyai peluang cerah terpilih ke Belgium.

“Mereka mempunyai peluang sama dengan pemain lain. Kalau kami tidak beri peluang sama rata kepada mereka seperti pemain senior lain, bermaksud kami tidak memberi peluang yang adil.

“Bermaksud juga kami tidak akan dapat membawa pemain terbaik untuk beraksi di saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Saya boleh katakan peluang mereka untuk terpilih cerah.

“Ia termasuklah Shahril yang sebelum ini mengalami kecederaan bahu. Dia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, ketua jurulatih skuad remaja negara Arul Selvaraj terpaksa melupakan khidmat tiga pemain skuad Sukan SEA itu kerana masih berada dalam kem latihan skuad senior untuk pemilihan ke Liga Hoki Dunia.

Arul menegaskan, beliau tidak boleh menunggu pengumuman senarai akhir 18 pemain skuad senior untuk ke Belgium sedangkan pasukannya perlu turun perlawanan pertama Sukan SEA 6 Jun ini.

Bagaimanapun, Arul yang mengumumkan senarai 18 pemain ke Singapura semalam berkata, beliau sedia menggugurkan pemain sedia ada sekiranya pengurusan skuad senior membuat keputusan awal mengetepikan pemain yang tidak diperlukan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:09 AM