Singapura: Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 30 bulan semalam selepas didapati bersalah cuba mengaturkan perlawanan bola ketika temasya Sukan SEA di sini pada Mei lalu.

Nasiruddin didapati bersalah berkonspirasi dengan dua lagi individu bagi merasuah pegawai bola sepak Timur Leste supaya tewas dalam perlawanan menentang pasukan Malaysia.

Menurut Biro Siasatan dan Amalan Rasuah Singapura (CPIB), lelaki itu menawarkan wang berjumlah S$15,000 (RM41,677) kepada pegawai Timur Leste berkenaan.

Nasiruddin turut berkonspirasi merasuah pemain pasukan itu sebagai dorongan untuk tewas dalam perlawanan pembukaan berkenaan.

Pasukan Timur Leste tewas 0-1 kepada Malaysia yang kekurangan seorang pemain dalam sebahagian besar perlawanan selepas Nazmi Faiz Mansor dibuang padang.

“Kami tidak akan bertoleransi terhadap amalan rasuah dan sebarang bentuk aktiviti mengatur perlawanan di Singapura.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam skandal mengatur perlawanan ini,” kata CPIB dalam satu kenyataan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:04 AM