London: Pengurus baru West Ham, Slaven Bilic akhirnya turun ke padang mengemudi pasukannya ketika menang 1-0 ke atas kelab Andorra, Lusitans pada perlawanan kedua, kelayakan pertama Liga Europa, awal pagi semalam.

Pengendali dari Croatia itu tidak berada di bangku simpanan apabila kelab London itu menang 3-0 pada perlawanan pertama minggu lalu, tindakan yang mencetus kemarahan jurulatih Lusitans, Xavi Roura.

Gol tunggal pada perlawanan timbal balik itu hadir menerusi Elliot Lee pada minit ke-21.

West Ham yang berakhir di tangga ke-12 Liga Perdana musim lalu, terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama lebih 75 minit selepas penyerang Diafra Sakho dibuang padang berikutan terjahan keras ke atas seorang pertahanan Lusitans.

Pasukan Bilic perlu melepasi tiga lagi pusingan untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Europa. Pusingan kelayakan kedua bermula minggu depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:05 AM