SAKHO (dua dari kiri) jaring gol kemenangan West Ham.
SAKHO (dua dari kiri) jaring gol kemenangan West Ham.
AFP

Manchester: Kekalahan mengejut 1-2 Manchester City kepada West Ham di laman sendiri membuktikan kebenaran pandangan pengurusnya Manuel Pellegrini yang berpendapat gelaran Liga Perdana Inggeris sebenarnya masih jauh untuk dicapai.

Pendahulu liga itu menyaksikan rekod 11 kemenangan berturut-turut yang dimiliki mereka berakhir hasil jaringan separuh masa pertama Victor Moses dan Diafra Sakho untuk West Ham.

West Ham menang tiga perlawanan di tempat lawan musim ini dan sebelum menewaskan City, mereka terlebih dulu mengalahkan Arsenal dan Liverpool.

Sebelum itu City dikatakan berpeluang menjarakkan jurang daripada juara bertahan Chelsea dengan 14 mata sekiranya kemenangan memihak kepada mereka.

Sebaliknya West Ham kendalian Slaven Bilic menghampiri kedudukan City meskipun gol lewat separuh masa pertama jaringan Kevin De Bruyne memberi harapan buat tuan rumah mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Kami tidak pernah percaya hanya kerana menang lima perlawanan sudah boleh bergelar juara Liga Perdana Inggeris,” kata Pellegrini.

“Kami perlu bermain 32 perlawanan, memburu 96 mata lagi, jadi tiada siapa harus mempercayainya.”

City beraksi tanpa pertahanan merangkap kapten Vincent Kompany yang cedera selain penyerang berpengaruh David Silva kerana mengalami kecederaan betis ketika memanaskan badan sebelum permainan.

Pellegrini enggan mengaitkan kekalahan itu dengan ketiadaan mereka dan sebaliknya mengkritik pasukan yang hilang tumpuan sehingga mengundang kepincangan di bahagian pertahanan.

“Saya tidak mahu membandingkan satu musim dengan yang lain kerana kami baru memulakan musim ini,” katanya.

“Namun kami kalah dua perlawanan kerana tidak bermain dengan penuh tumpuan dan kesungguhan yang diperlukan di bahagian pertahanan.

“Ketika menentang Juventus dalam Liga Juara-Juara, mereka mempunyai dua peluang dan kami bolos dua kali dan hari ini lebih kurang sama.”

Sementara itu, Bilic yang jelas gembira menganggap kemenangan ke atas City itu lebih bermakna berbanding ketika menewaskan Arsenal dan Liverpool.

“Keputusan ini mengejutkan. Perlawanan ini berlainan dengan aksi di Emirates dan Anfield kerana City pasukan terbaik liga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:27 AM