Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Keinginan mahu melihat sendiri dan memenuhi kehendak wanita bertudung yang tetap mahu tampil cantik bergaya, membuatkan pemilik butik Shawlpeople, Juraina Ab Rahman, 38, gigih menghasilkan rekaan terbaru demi memenuhi cita rasa berbeza.

Mempertaruhkan selendang bercorak, kebanyakan koleksi daripada jenama itu memberi fokus kepada motif bunga-bungaan dan corak abstrak.

Katanya, biarpun rekaannya nampak ringkas, ia mampu membuatkan wanita nampak bergaya kerana berciri moden serta sesuai dipadan dengan pelbagai jenis pakaian dan majlis.

“Malah, bagi yang sukakan tudung lebih labuh, kami menawarkan selendang berukuran dua meter panjang dengan lebar 0.7 meter.

“Kami mahu menampilkan konsep selendang yang ringkas, moden dan bergaya. Keunikan selendang jenama ini apabila ia mempunyai corak berbeza berbanding yang ada di pasaran,” katanya.

Menurut Juraina, fabrik yang digunakan bagi menghasilkan koleksi itu adalah daripada kain sifon berkualiti yang selesa dipakai, sejuk serta mudah dibentuk.

Sesuai dengan cuaca panas sejak kebelakangan ini, selendang berkenaan dijual bermula daripada RM29 hingga RM38.

Corak yang ditampilkan dalam koleksi terbaru kali ini lebih unik dan boleh dipakai mengikut kreativiti pemakai dan boleh diubah bagi menampakkan kelainan setiap kali ia digayakan.

“Selendang berkenaan sesuai digayakan pelajar dan wanita berkerjaya. Ia dihiasi perincian seperti manik, sulaman serta renda,” katanya yang turut memaparkan koleksi terbarunya di ruangan Instagram/ @shawlpeople.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada awalnya, Juraina yang pernah berkerja di sebuah institusi perbankan, terdorong serius dalam perniagaan selepas melihat sendiri sambutan yang diterima pelanggan.

Berpegang kepada falsafah hidup tidak gentar pada kegagalan, Juraina berkata, ilham menghasilkan setiap koleksi terbaru selalunya datang ketika dia melancong ke luar negara terutama berkaitan fabrik dan rekaan.

Biarpun tidak mengenggam segulung ijazah, ia bukan penghalang kepadanya untuk berjaya dalam hidup kerana yang penting adalah keinginan untuk memajukan diri.

“Saya bukan berasal daripada keluarga berada. Bidang perniagaan bukan asing kerana ayah saya juga pernah memulakan perniagaan.

“Dalam usaha memperkenalkan perniagaan saya ini, saya mengorbankan banyak perkara dalam hidup saya bagi menjayakan perniagaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:01 AM