REKAAN santai menceriakan kanak-kanak.
REKAAN santai menceriakan kanak-kanak.
ELLY bersama  Ai’syah Zahirah (kanan) dan Alya Zulaikha.
ELLY bersama Ai’syah Zahirah (kanan) dan Alya Zulaikha.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Keinginan dua anak perempuan kecilnya yang mahu menggayakan jubah seperti dipakai ibu, mencetuskan ilham buat pereka fesyen kanak-kanak, Elly Razak untuk menghasilkan pakaian Muslimah supaya si cilik mampu tampil bergaya sopan.

Memilih fabrik polos serta bercorak daripada warna ceria, Elly turut mendengar pendapat serta berkongsi idea dengan anak-anaknya, Ai’syah Zahirah Shahirul Anwar, 8, dan Alya Zulaikha Shahirul Anwar, 4, demi mencari gaya sesuai dan memenuhi cita rasa kanak-kanak perempuan yang gemarkan fesyen.

Pengasas Pretty Princess Zara itu berkata, material kain yang dipilih ialah kapas dan lycra memandangkan ia bukan saja kelihatan cantik, tetapi juga selesa buat si kecil dan tidak memerangkap haba, membuatkannya pilihan terbaik untuk pakaian kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak di bawah usia empat tahun, kain kapas dipilih untuk menghasilkan rangkaian pakaian manakala fabrik lycra pula dipilih untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.

Elly mula menghasilkan pakaian Muslimah kanak-kanak perempuan selepas gagal menemui rekaan jubah yang sesuai di pasaran mengikut selera anaknya ketika mereka keluar membeli-belah.

“Ketika mencari jubah seperti diinginkan anak, kami tidak berjumpa yang berkenan di hatinya. Saya kemudian membuat rekaan jubah mengikut ideanya, lalu terus mengeluarkan rangkaian pakaian Muslimah kanak-kanak.

“Sebaik dilancarkan ke pasaran, ia mendapat sambutan hangat. Rupa-rupanya ramai ibu bapa mahu mencari pakaian Muslimah yang cantik dan nampak anggun buat anak perempuan mereka dan saya gembira dengan sambutan mereka,” katanya yang turut memaparkan koleksi pakaian di www.prettyprincesszara.com.my.

Katanya, sikap anak-anaknya yang begitu mementingkan rekaan dan penampilan pakaian walaupun masih kecil membuatkannya teruja menghasilkan fesyen yang memenuhi jiwa kecil mereka.

Setiap pakaian yang dihasilkannya dipastikan menggunakan kain yang tidak jarang, sejuk dan menarik mengikut usia.

Bagi menawarkan pilihan fesyen terkini kepada pelanggan, Elly mengeluarkan rekaan terbaru setiap tiga bulan yang dijual pada harga berpatutan antara RM35 hingga RM90.

Selain jubah, Elly yang mengkhusus kepada rekaan fesyen pakaian kanak-kanak perempuan daripada usia tiga bulan hingga 14 tahun, turut menghasilkan tudung, selendang, blaus, aksesori, skirt labuh dan jaket yang semuanya disesuaikan dengan imej Muslimah.

Tudung yang dihasilkan pula bukan saja datang dalam warna dan corak ceria, tetapi ia dijahit dalam saiz lebih kecil berbanding biasa supaya tampak lebih menarik untuk digayakan si kecil.

Selain tudung sedia dipakai, koleksi tudung kanak-kanak yang dihasilkan Elly ialah selendang dan tudung Syria yang mudah disarungkan. Lebih menarik, setiap pembelian tudung turut diberikan anak tudung sepadan serta aksesori secara percuma.

Menurut Elly, bagi koleksi pakaian kanak-kanak yang dihasilkannya, dia hanya memilih fabrik berwarna lembut dan ceria dengan corak sesuai selain mengelak penggunaan warna hitam atau gelap.

“Koleksi terdiri daripada pakaian berwarna merah jambu serta pakaian yang mendapat sentuhan campuran pelbagai warna ceria.

“Biarpun hanya menghasilkan pakaian kanak-kanak perempuan, Pretty Princess Zara turut menghasilkan pakaian untuk kanak-kanak lelaki di bawah usia enam tahun, khusus pada hari istimewa seperti sambutan Aidilfitri,” katanya yang turut mencari ejen yang berminat de­ngan modal hanya sekitar RM500.

Mereka yang berminat melihat koleksi pakaian kanak-kanak Muslimah jenama Pretty Princess Zara, boleh melayari laman Instagram/PrettyPrincessZara atau Facebook/PrettyPrincessZara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:02 AM