Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Menawarkan selendang dalam pilihan lebih 40 warna menjadi kekuatan kepada jenama Shawlforyou yang bertapak sejak tiga tahun lalu sebagai perniagaan dalam talian sebelum pemiliknya, Nur Izzati Zahari, 27, membuka butik di Alam Avenue 2, Seksyen 16, Shah Alam.

Mengakui begitu teliti mengenai keselesaan pelanggan, Nur Izzati memilih fabrik daripada sifon untuk dijadikan selendang memandangkan teksturnya yang ringan, tidak panas dan beralun apabila digayakan.

Malah dia turut memilih fabrik kosong berwarna pastel yang diselitkan sedikit warna terang selain corak bunga dan abstrak supaya ia mudah dipadankan dengan semua jenis pakaian, formal ataupun santai.

Setiap minggu, koleksi baru akan dihasilkan butik terbabit dengan 15 hingga 20 rekaan bagi memberi pilihan yang eksklusif kepada pelanggan.

"Kami memfokus kepada selendang labuh, lebar dan mempunyai panjang hingga dua meter supaya pelanggan dapat menutup aurat dengan sempurna dan pada masa sama mudah digayakan," katanya yang turut memaparkan koleksi selendangnya itu di laman www.shawlforyou.blogspot.com.

Nur Izzati berkata, selain selendang, butiknya turut menjual gaun ala jubah yang dihiasi reben di bahagian pinggang, berpotongan kembang dan dilengkapi getah di bahagian belakang bagi memudahkan pelanggan bergaya.

Namun katanya, bagi pelanggan yang tidak gemar dengan getah di bahagian belakang gaun, mereka boleh membukanya supaya ia kelihatan lebih longgar.

"Selain apa yang ada di butik sekarang, saya merancang menghasilkan gaun bersaiz besar sehingga XXL, longgar dan menggunakan pelbagai kain sifon berwarna pastel, sesuai dengan minat pelanggan ketika ini," katanya.

Shawlforyou turut menghasilkan produk seperti tudung bawal daripada kain viscose yang tidak jarang kerana ia mendapat permintaan ramai serta anak tudung yang menutup leher.

Dengan harga antara RM20 hingga RM149, jenama terbabit memberi tumpuan kepada golongan pelajar hingga awal 40-an.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:07 AM