KOLEKSI terbaru tudung, pakaian Muslimah berkonsep sopan, anggun moden.
KOLEKSI terbaru tudung, pakaian Muslimah berkonsep sopan, anggun moden.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Jenama fesyen terkenal, Ariani baru-baru ini memperkenalkan rangkaian koleksi tudung terbarunya dan pakaian Muslimah, Ariani Ready-To-Wear, sempena pembukaan Galeri Ariani di Jakel Mall, Jakel Square, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti terkenal itu turut memperagakan koleksi fesyen paling laris serta terbaru daripada Ariani, termasuk koleksi pakaian Muslimah yang bergaya, sesuai untuk ke pejabat, majlis formal atau santai.

Segmen pertama pertunjukan fesyen yang berkonsepkan sopan moden itu menampilkan rekaan kreatif dan corak terkini perincian yang menambah keanggunan tudung daripada jenama pilihan ramai itu.

Antara koleksi terkini yang diketengahkan ialah Retro Print, Tiara Cajante Eyelash, Atilia Exclusive Thai Silk dan Square Afsara Printed Silk.

Setiap koleksi berkenaan dihasilkan daripada fabrik berkualiti tinggi termasuk sutera Thai dan sutera sifon.

Bagi koleksi busana sedia dipakai, Ariani memperkenalkan blaus corak penuh yang didatangkan dalam pelbagai motif seperti flora, abstrak dan baroque.

Pada masa sama, ia turut menawarkan blaus bersulam, pakaian daripada kain tweed dan jaket jacquard serta jubah yang boleh dipadankan sama ada dengan seluar palazo atau skirt labuh beralun.

Hadir dalam beberapa saiz, jenis fabrik dan variasi warna, koleksi pakaian Muslimah itu memperlihatkan sisi moden yang menarik dan sesuai digayakan semua lingkungan usia wanita.

Bagi segmen kedua pertunjukan fesyen itu, koleksi tudung berkonsepkan anggun moden diperagakan antaranya selendang renda, Tiara Camelia, Tiara Syifon bertatahkan batu Swarovski, selendang Farisha dan Adelia.

Pada majlis itu, Galeri Ariani turut mengumumkan personaliti terkenal, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain dan pelakon kian meningkat naik, Bella Dally sebagai duta Ariani bagi 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:01 AM