TEONG Kim (tengah) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan, semalam.
TEONG Kim (tengah) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan, semalam.
Firdaus Hashim

Slovenia: Pemain muda negara digesa tampil bermati-matian demi maruah negara ketika menentang Slovenia pada aksi klasifikasi 5-12 dalam saingan Torneo Delle Nazioni 2017 di Nova Gorica, Slovenia, hari ini.

Selepas tewas dalam semua aksi peringkat Kumpulan B, anak didik Lim Teong Kim atau dikenali dengan skuad bawah 15 tahun (B-15) negara akan meneruskan perjuangan mereka untuk mengakhiri kempen di kedudukan terbaik.

“Kami masih ada peluang menamatkan pertandingan dengan kemenangan. Tetapi pemain harus berusaha bermati-matian untuk mencapai keputusan lebih baik dalam aksi klasifikasi nanti. Perjuangan kami belum selesai dan saya mahu pemain beraksi demi maruah selain mengutip seberapa banyak ilmu baru di kejohanan ini,” katanya kepada Arena Metro, di sini, semalam.

Skuad cilik negara yang membuka saingan berdepan pasukan di ranking ke-16 dunia iaitu Mexico pada Isnin lalu apabila sekadar tewas tipis 0-1 hasil kesilapan pertahanan negara.

Seperti mana aksi pertama, anak buah Teong Kim menguasai perlawanan pada aksi kedua menentang tuan rumah Austria namun mutu pengadilan yang berat sebelah menyaksikan Malaysia tumbang 0-2.

Skrip sama berulang ketika berdepan Croatia kelmarin apabila kegagalan tonggak pertahanan mengawasi penyerang lawan menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

“Kami bukannya kalah dengan jumlah jaringan besar. Gawang pasukan sekadar dibolosi satu atau dua gol saja. Malah, gol lawan berpunca daripada kesilapan kami sendiri dan bukannya hadir menerusi gerakan merbahaya. Berdasarkan pemerhatian, pasukan kita berjaya memberi tentangan sengit kepada lawan,” katanya.

Jelas Teong Kim, walaupun kecewa gagal meraih sebarang mata namun beliau percaya banyak pengalaman baru yang ditimba pemain khususnya mengenai tahap bola sepak antarabangsa.

“Sebelum ini pasukan sering beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah dan mereka berjaya menghasilkan keputusan cemerlang seperti menjuarai Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015 dan Piala SuperMokh di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Kejohanan ini pula (Torneo Delle Nazioni) adalah penampilan pertama buat kami. Dapat diperhatikan tahap saingan di peringkat ini lebih sukar tetapi ia pendedahan berguna sebelum pemain melangkah ke pusingan Kelayakan Piala Asia B-16, September nanti,” katanya.

Skuad negara yang sebelum ini beraksi di Kotschach, Austria selamat tiba di Nova Gorica, Slovenia pada tengahari semalam selepas menempuh hampir tiga jam perjalanan dengan menaiki bas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 5:12 AM