Gwangju, Korea Selatan: Bayangan pingat menerusi acara olahraga dicetuskan atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail selepas melepasi aksi kelayakan di Stadium Piala Dunia Gwangju.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura itu mencatatkan 15.96 meter pada cubaan ketiga sekali gus berada antara 12 peserta ke pusingan akhir yang bersaing merebut pingat hari ini.

Bagaimanapun Hakimi yang memecahkan rekod Sukan SEA di Singapura dengan catatan 16.76 meter dilihat mampu melakarkan catatan lebih baik sekiranya tidak berdepan sedikit masalah ketika melakukan lompatan.

“Saya masih tidak mendapat rentak yang sempurna hari ini (semalam). Malah ada sedikit masalah apabila nombor di belakang baju saya tercabut sehingga menjejaskan catatan saya,” katanya.

Atlet berusia 24 tahun berkenaan mencatatkan 13.54m pada cubaan pertama disusuli 15.69m dan 15.96m dengan atlet dari Russia Dmitrii Sorokin berada pada kedudukan pertama di aksi kelayakan menerusi 16.74m.

“Saya menjangkakan saingan akan sengit namun jika saya mampu melakukan lompatan seperti di Singapura (Sukan SEA), mungkin mampu meraih pingat. Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu mengharap,” jelasnya.

Turut cemerlang semalam adalah atlet lompat jauh negara Noor Amira Mohamad Nafiah yang melangkah ke pusingan akhir selain Jacky Wong (baling tukul besi) dan Muhammad Irfan Shamsudin (lempar cakera).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:08 AM