HAKIMI mahu cipta rekod baru di Gold Coast. -Foto fail
HAKIMI mahu cipta rekod baru di Gold Coast. -Foto fail
Aida Adilah Mat


KETIKA peluang memenangi pingat di Sukan Komanwel sukar, atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail tetap mahu melakar sesuatu yang istimewa di Gold Coast, bulan depan.

Disifatkan antara atlet olahraga paling konsisten dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan apabila tiga kali berturut-turut berbuat demikian di Sukan SEA, atlet berusia 26 tahun itu berharap dapat melakukannya pula pada temasya kedua terbesar dunia itu. 

Hakimi yang ditemui pada sidang media persediaan atlet Podium ke Sukan Komanwel di Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini berkata, biarpun ia adalah penampilan pertamanya, dia begitu teruja untuk melakukan lompatan terbaik.

“Saya pernah buat rekod kebangsaan di Sukan SEA Myanmar, Singapura dan Kuala Lumpur, jadi saya harap tahun ini mahu mencuba melakukannya di kejohanan lain pula terutama di Sukan Komanwel dan Asia.

“Jadi, saya dan jurulatih (Victor Sotnikov) berharap dapat meningkatkan lagi prestasi ke tahap lebih tinggi setaraf dengan mereka yang terbaik di dunia,” katanya yang menyertai tiga kejohanan, dua di Australia dan satu di Kuala Lumpur sebagai persediaan ke Komanwel.

Hakimi yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter itu menegaskan dia kini dalam fasa pertandingan dan perlu memantapkan teknik serta kekuatan bagi memastikan misinya untuk sekurang-kurangnya memecahkan rekod kebangsaan itu tercapai.

Catatan terbaiknya tahun ini ialah 16.27m yang dilakukannya ketika beraksi di Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu.

Sementara itu, Sotnikov berkata, Hakimi kini berada di tahap terbaik namun tidak dapat mengulas mengenai peluangnya memenangi pingat di Gold Coast kerana senarai akhir atlet yang bertanding masih belum dikeluarkan penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:29 PM