Oleh Aida Adilah Mat

Putrajaya: Pemenang pingat emas lompat kijang Sukan SEA Singapura, Mohd Hakimi Ismail berada dalam landasan tepat untuk menyumbangkan pingat buat negara di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 bermula dari 3 hingga 14 Julai ini.

Lompatan emas dilakukan di Singapura meletakkan dia di kedudukan pingat namun pelajar Universiti Putra Malaysia itu enggan meletakkan harapan tinggi.

Berdasarkan lompatan 16.76m, Hakimi berada di ranking ketiga namun katanya, itu belum mampu untuk memberi jaminan kerana masih belum mengetahui siapakah pesaing sebenar di Korea nanti.

“Berdasarkan temasya lalu, saya berada dalam ranking ketiga. Tapi cabarannya sukar dan saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Ketika ini saya hanya fokus untuk buat yang terbaik.

“Sasaran saya untuk buat yang terbaik. Jika boleh saya mahu mendapatkan pingat dan layak ke Olimpik,” katanya.

Terdahulu di Sukan SEA Singapura, Hakimi bukan saja berjaya meraih emas tetapi memecah rekod kebangsaan dan Sukan SEA.

Biarpun gagal layak pada awalnya, dia tampil selaku atlet kategori B berdasarkan pencapaian dua tahun lalu apabila meraih pingat perak di Myanmar.

Namun atlet berusia 24 tahun itu bangkit membuktikan dia mampu mengharumkan nama negara dan kehadirannya turut menyelamatkan maruah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:29 AM