Banda Aceh: Seorang remaja lelaki di Aceh yang menjadi anak angkat bintang bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo kini menyertai akademi bola sepak Sporting Lisbon di Portugal.

Sporting Lisbon adalah kelab pertama Ronaldo sebelum Pemain Terbaik Dunia FIFA 2013 dan 2014 itu berhijrah ke Manchester United.

Martunis, 18, diumumkan menyertai akademi Sporting Lisbon dalam satu majlis yang berlangsung di kelab berkenaan pada Rabu lalu.

“Martunis akan berlatih di sini dan membesar sebagai lelaki serta pemain bola sepak,” kata Presiden Sporting Lisbon, Bruno de Carvalho.

Martunis berkata, dia berasa sangat bangga kerana dapat kembali semula ke Portugal dan diundang menyertai kelab berkenaan.

“Ini peluang yang sangat berharga buat saya.

“Saya berharap dapat ramai kawan di sini dan bermain dengan baik,” ujarnya.

Martunis mendapat simpati Ronaldo dan seluruh rakyat Portugal selepas ditemui terselamat dalam bencana tsunami pada 2004.

Martunis yang ketika itu berusia tujuh tahun hilang selama 21 hari sebelum ditemui terselamat dan terdampar di pantai dengan memakai jersi pasukan bola sepak Portugal.

Dia kemudian diambil menjadi anak angkat Ronaldo selepas gambarnya yang ditemui masih memakai jersi Portugal mendapat simpati rakyat negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:38 AM