PONTES akui semua pihak di kelab gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan Safawi dan tunggu masa yang sesuai untuk diturunkan. FOTO Ihsan Portimonense SC
PONTES akui semua pihak di kelab gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan Safawi dan tunggu masa yang sesuai untuk diturunkan. FOTO Ihsan Portimonense SC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peminat Malaysia diminta bersabar dan memberi masa kepada bintang bola sepak negara, Safawi Rasid menyesuaikan diri dengan suasana dan tempo permainan Eropah.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Portimonense SC, Robsen Pontes, jurulatih pasukan iaitu Paulo Sergio sedang berusaha menyiapkan Safawi untuk dipertaruhkan dalam setiap aksi kelab terbabit.

Menurutnya, pemain sayap kaki kiri itu sememangnya berpotensi menyerlah terutamanya di Liga Primeira yang juga saingan utama di Portugal.

"Safawi adalah pemain berkualiti dan jurulatih sedang membantunya untuk tampil dalam pasukan sekali gus meraih penampilan pertama dengan kelab.

"Semua pihak di kelab gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan Safawi dan kami hanya menunggu masa yang sesuai untuk menurunkannya," katanya kepada media Portugal.

Sebelum ini, Safawi tersenarai dalam dua aksi bersama pasukan namun hasrat untuk melihat pemain Harimau Malaya itu bermain tidak kesampaian apabila dia hanya memanaskan bangku simpanan.

Berdasarkan perkembangan terkini persiapan Portimonense SC menjelang aksi liga berdepan Desportivo Nacional malam esok, Safawi dilihat bersemangat menjalani latihan bersama pasukan utama.

Dia yang dipinjamkan selama semusim oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka terus berada dalam senarai 18 pemain untuk perlawanan wajib menang itu.

Ketika ini, Portimonense SC terperosok di tangga terbawah liga dengan hanya mengumpul empat mata daripada tujuh aksi setakat ini.

Minggu lalu, kelab Safawi itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan ketiga Piala Portugal apabila tewas mengejut di tangan kelab divisyen tiga, UD Leiria 1-0 sekaligus menimbulkan kebimbangan tentang minit permainan yang masih belum diraih oleh Safawi.

Untuk rekod, sepanjang sebulan lebih tonggak kelahiran Dungun, Terengganu itu di Portugal, dia hanya mengumpul 56 minit ketika bersama skuad B-23 tahun Portimonense SC menentang Sporting Lisbon.

Dalam aksi itu, Portimonense SC tumbang 3-1 dengan Safawi memperagakan permainan terbaik apabila beberapa kali berjaya mengatasi pertahanan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 11:11 PM