Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: “Prestasi buruk ketika tewas kepada Kuala Lumpur tidak harus berulang kerana ia akan menyukarkan laluan pasukan menduduki carta teratas liga,” kata pengurus Negeri Sembilan (NS) Matrix (NS Matrix) Datuk Abdul Ghani Hasan.

Beliau berang dengan kekalahan skuad Hoben Jang Hoben 0-1 kepada Kuala Lumpur, Jumaat lalu dan memberi amaran supaya skuad itu melakukan perubahan drastik ketika bertemu Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Katanya, pengendali K Devan perlu melakukan perubahan dan memastikan anak buahnya bangkit dengan aksi lebih baik.

“Saya harap pemain tidak ulangi lagi persembahan seperti itu. Pemain perlu realisasikan kemenangan kerana kelebihan kepada mereka berbanding pemain lawan.

“Jangan disebabkan pemain gagal melaksanakan tugas, persatuan menjadi sasaran penyokong. Saya harap ia tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya.

NS Matrix kini berada di tempat keenam liga dengan 14 mata selepas sembilan perlawanan manakala Pulau Pinang keempat, 18 mata.

Perlawanan itu bagi menggantikan aksi yang dibatalkan pada pertengahan bulan lalu susulan masalah cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:18 AM