Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Pemain tidak boleh hilang fokus dan perlu berikan persembahan terbaik sepanjang tempoh 90 minit bagi mencipta kemenangan ke atas Pulau Pinang sekali gus membalas kepercayaan diberikan,” kata pengurus pasukan Negeri Sembilan (NS) Matrix, Datuk Abdul Ghani Hasan.

NS Matrix bakal membuat perhitungan dengan Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Beliau berkata, selepas gagal memanfaatkan peluang ketika menentang Kuala Lumpur di gelanggang sama sebelum ini, peluang kali ini tidak harus dipersia-siakan sebaliknya mereka perlu menterjemahkan kemenangan.

“Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta liga.

“Tiba masanya buat pemain NS Matrix memberikan kesungguhan tinggi dengan merealisasikan kemenangan.

“Kelebihan yang mereka miliki tidak boleh dipersia-siakan lagi dan saya mahu pemain memberikan persembahan terbaik serta memanfaatkan setiap peluang jaringan,” katanya semalam.

NS Matrix kini berada di tempat keenam carta liga dengan 14 mata selepas melalui sembilan perlawanan manakala Pulau Pinang,keempat dengan 18 mata.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan adalah bagi menggantikan aksi yang dibatalkan pada 12 April lalu susulan masalah cuaca.

Abdul Ghani berkata, pengendali K Devan perlu memastikan anak buahnya mematuhi 100 peratus taktikal yang dirancang kerana pasukan lawan memiliki kekuatan tersendiri dalam melakukan kejutan biarpun tidak memiliki kelebihan.

“Saya harap perkara ini diberikan perhatian oleh jurulatih dan memastikan jentera serangan NS Matrix berfungsi dengan lebih baik serta lebih bijak meletakkan bola ke gawang lawan,” katanya.

Sementara itu, Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) berharap skuad NS Matrix dapat mempamerkan kebangkitan.

Timbalan Presiden, Mohamad Faidzul Mohd Noh berkata, kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang perlu direalisasikan kerana ia peluang terbaik bagi menebus kekalahan yang mereka alami dalam saingan Piala FA.

“Pemain NS Matrix perlu turun dengan misi wajib menang kerana perlawanan itu akan menjadi kayu pengukur sejauh mana keupayaan sebenar pasukan dalam merealisasikan sasaran layak ke saingan Liga Super musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:21 AM