Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas melakukan kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim II (Johor DT11) Ahad lalu, Negeri Sembilan (NS) Matrix berpeluang melebarkan rekod kemenangan apabila berdepan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pengurus pasukan Datuk Abd Ghani Hasan berkata, perlawanan itu yang sepatutnya berlangsung di gelanggang lawan, Stadium Merdeka ditukar ke Paroi berikutan masalah padang dan ia seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh pemain NS Matrix untuk mencipta kemenangan.

“Pertukaran gelanggang memberi peluang kepada pemain NS Matrix beraksi di tempat sendiri dan seharusnya pemain tidak mempersia-siakan peluang melakar kemenangan ke atas Kuala Lumpur.

“Justeru, mereka perlu meningkatkan prestasi bagi mengekalkan rentak terbaik dalam usaha mendapatkan tiga mata dan seterusnya membolehkan kedudukan pasukan dalam carta liga diperbaiki.

“Pemain perlu memanfaatkan peluang terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur bagi meraih mata maksimum kerana kita akan bertemu Pulau Pinang di gelanggang sama, pada 5 Mei,” katanya.

Beliau berkata, perlawanan ini memberi peluang terbaik bagi skuad Hoben Jang Hoben memintas pasukan lain dan memperbaiki kedudukan liga seterusnya kembali merampas tempat selaku pendahulu.

“Jika kita mengumpulkan sembilan mata daripada tiga perlawanan itu, sudah pasti kedudukan pasukan dalam liga dapat diperbaiki selain memberi laluan lebih mudah untuk kembali di puncak,” katanya.

Sementara itu, kapten NS Matrix Rezal Zambery Yahya bertekad memberikan persembahan terbaik serta memimpin rakan sepasukan dalam usaha meneruskan rentak kemenangan.

“Saya yakin semua pemain akan berusaha keras memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri bagi merealisasikan sasaran kutipan mata.

“Saya berjanji memberikan persembahan terbaik bagi membantu pasukan mencapai kemenangan ke atas Kuala Lumpur dan yakin rakan-rakan lain juga melakukan tugasan dengan baik seperti diarah ketua jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:46 AM