Oleh Siraj Mohd Zaini


Kuala Lumpur : Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas ditetak tiga lelaki dalam kejadian dihadapan Restoran Pasaraya Seri Kota Brickfields, kira-kira 5.45 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, saksi kejadian berusia 35 tahun mendakwa melihat satu kemalangan di mana mangsa terjatuh selepas melanggar tiang lampu.

Menurutnya, ketika saksi cuba membantu mangsa, tiga lelaki datang menaiki dua motosikal dengan membawa parang dan mengarahkan saksi supaya beredar.

"Kemudian saksi itu melihat dari jauh, ketiga lelaki terbabit bertindak menetak mangsa sebelum melarikan diri.

"Mangsa dikenali sebagai P.Loganeswaran dan siasatan awal mendapati mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi.

Zainuddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 5:19 PM