AL Alif (gambar kecil) cedera selepas memecahkan cermin untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan terbakar. FOTO ihsan Polis
AL Alif (gambar kecil) cedera selepas memecahkan cermin untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan terbakar. FOTO ihsan Polis
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis cedera apabila bertindak nekad memecahkan cermin kereta bahagian pemandu untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan terbakar di Kilometer 5.5 timur Lebuhraya Sprint, 5.45 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, anggota polis yang cedera, Lans Koperal Al Alif Al Dan bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bertindak berani selepas menyaksikan mangsa terperangkap dalam kebakaran apabila kereta yang dipandu mangsa terbabas sebelum melanggar tembok lebuh raya.

"Ekoran kejadian itu Al Alif mengalami kecederaan calar dan luka kecil di kedua belah tangannya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zainuddin berkata, anggotanya kini sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala pemandu kereta, lelaki berusia 39 tahun hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, sebelum kejadian Al Alif bersama seorang lagi anggota polis sedang melakukan tugasan rondaan di kawasan perumahan Medang Tanduk Bangsar, di sini, sebelum menyaksikan insiden terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 12:09 PM