MOHAMAD Faiz menunjukkan video rakaman yang menjadi viral dalam kalangan pengguna laman sosial. FOTO Mustapha Ismail
MOHAMAD Faiz menunjukkan video rakaman yang menjadi viral dalam kalangan pengguna laman sosial. FOTO Mustapha Ismail
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Polis akan melakukan siasatan terhadap rakaman insiden buli membabitkan pelajar sekolah menengah di Tongkang Pecah, di sini, yang tersebar sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, tindakan itu diambil selepas menerima satu laporan daripada suspek selepas dia dipukul oleh pihak lain pada 20 Jun lalu, dipercayai bagi membela mangsa.

Katanya, pihaknya kini dalam proses mengambil kenyataan daripada kesemua individu yang terbabit dalam insiden berkenaan.

"Pada awalnya kes sudah ditutup berikutan mangsa tidak mahu memperbesarkan kes. Namun siasatan terpaksa dibuka berikutan laporan dibuat daripada pembuli yang dipukul oleh pihak lain.

"Kami dalam proses mengambil kenyataan daripada semua yang terbabit termasuk mangsa dan enam suspek keseluruhannya,” katanya.

Dalam rakaman berdurasi 1 minit 42 saat itu, mangsa, Mohamad Faiz Daniel Nazri, 14, bukan saja ditumbuk, diterajang dan ditampar, malah lehernya turut dijerut dengan getah paip tanpa belas kasihan oleh tiga pelajar dipercayai berasal dari sekolah sama dengannya.

Malah video rakaman pergaduhan turut mencetuskan kemarahan pengguna laman sosial apabila mangsa dibuli dengan perbuatan keterlaluan.12

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 1:40 PM