Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pengasas dan warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah direman empat hari berhubung kes jenayah cabul, seks luar tabii dan mendera enam pelajar.

Perintah reman sehingga 16 Mei ini dikeluarkan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin selepas dipohon polis berdasarkan peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, kedua-dua suspek warga Singapura berusia 40 dan 36 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.35 pagi dan sempat menunjukkan isyarat 'OK' kepada media ketika diiringi anggota polis memasuki bilik reman.

SUSPEK dua beradik warga Singapura dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes jenayah dera secara seksual dan fizikal terhadap enam pelajar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SUSPEK dua beradik warga Singapura dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes jenayah dera secara seksual dan fizikal terhadap enam pelajar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Semalam, Harian Metro melaporkan kedua-dua suspek iaitu pemilik atau mudir pusat bimbingan al-Quran berusia 40 tahun dan adik lelakinya yang juga warden asrama berusia 36 tahun ditahan di pusat tahfiz itu di Tanjung Minyak antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari

Penahanan itu susulan polis menerima enam laporan dibuat ibu bapa enam pelajar terbabit berusia antara 13 hingga 15 tahun antara jam 6.29 petang hingga 9.13 malam, kelmarin, di Balai Polis Batang Tiga, di sini.

Mengikut laporan, tiga mangsa mendakwa didera secara seksual iaitu dicium dan dicabul suspek pertama berusia 40 tahun.

Sementara tiga lagi dipukul dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh suspek kedua yang juga warden hanya kerana lambat menyiapkan tugasan termasuk membersihkan ruang tahfiz.

Semua kejadian itu dilaporkan berlaku di pusat bimbingan tahfiz di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta sebuah kondominium di Klebang, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 11:50 AM