Norzamira Che Noh


Klang: Penahanan empat suspek berhubung insiden dua pengawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa semalam membongkar sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' serta judi haram membabitkan kumpulan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ia susulan serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah salah seorang suspek di daerah ini.

"Selepas tangkapan dilakukan, kami membuat pemeriksaan dan menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang Dollar AS serta 100 keping jongkong emas seberat sekilogram sekeping.

"Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, tadi.

Beliau berkata, turut dirampas adalah sepucuk pistol, 10 peluru, lima telefon bimbit dan rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Terdahulu, empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 43 tahun itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk perintah reman pagi semalam.

"Salah seorang suspek dikenakan reman tujuh hari manakala tiga lagi direman lima hari. Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau

"Bagi kes di Klang Selatan, polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 298 KK dan 307 KK.

"Kami juga menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951," katanya.

Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat secara mendalam sindiket berkenaan termasuk berapa lama kumpulan itu bergiat aktif.

Katanya, polis juga meminta masyarakat bertenang serta tidak membesarkan isu ini termasuk mengaitkan dengan isu perkauman.

Kelmarin tular di media sosial apabila dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.

DATUK Arjunaidi Mohamed (tiga dari kanan) melihat rotan milik suspek yang dirampas susulan kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikan yang tular di media sosial semalam. FOTO Faiz Anuar
DATUK Arjunaidi Mohamed (tiga dari kanan) melihat rotan milik suspek yang dirampas susulan kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikan yang tular di media sosial semalam. FOTO Faiz Anuar

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dalam satu kenyataan memaklumkan berkata, kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.

Berita berkaitan

'Dibelasah kerana berpuasa'

'Kes lelaki dipukul majikan: 4 individu ditahan'

'Dia tanya you pilih Allah ka mahu pilih saya?'

'Ahli perniagaan pukul pengawal peribadi direman hingga Sabtu [METROTV]'

Suspek pukul pengawal peribadi berpuasa dipercayai tauke judi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 2:39 PM