Pesawat MAS.

Cadangan penswastaan Malaysia Airlines (MAS) adalah penting bagi kelangsungan syarikat penerbangan negara itu dan pemegang saham minoriti perlu menerima 27 sen sesaham yang ditawarkan kepada mereka pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang.

Penganalisis Pengangkutan Serantau di Institut Penyelidikan RHB, Ahmad Maghfur Usman berkata, pada dasarnya, MAS kini semakin bermasalah dan pemegang saham tidak akan mendapat semula pelaburan mereka.

Justeru, bagi pemegang saham minoriti, lebih baik menerima tawaran 27 sen sesaham itu daripada tangan kosong.

“Langkah menyelamatkan MAS ketika ini ialah penswastaan dan tanpa cara sedemikian, pilihan lain ialah dengan mengisytiharkannya muflis,” katanya.

Beliau memberikan senario itu untuk difikirkan oleh pemegang saham minoriti menjelang EGM yang penting pada 6 November ini.

Ahmad Maghfur berkata, jika EGM mengundi menentang penswastaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan saham majoriti dalam MAS tidak akan menyuntik dana, menjadikan sukar bagi syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula.

Khazanah Nasional pada Ogos telah mengumumkan pelan penstrukturan semula 12 Perkara membabitkan kos RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS. RM1.4 bilion akan dibayar kepada pemegang saham minoriti jika mereka mengundi bagi menerima tawaran 27 sen itu.

Ia seterusnya akan memberi laluan bagi penyahsenaraian MAS daripada Bursa Malaysia.

“Muflis adalah sangat mencabar. Ini juga akan menjadi senario terburuk bagi pemegang saham minoriti yang akan memberi tekanan kepada harga saham, misalnya. MAS tidak akan lagi diniagakan pada paras yang sama.

“Justeru, saya menggesa pemegang saham minoriti, menentukan keutamaan mereka pada EGM itu nanti,” katanya di sini, semalam.

Beliau memberitahu tawaran 27 sen itu adalah ‘harga yang menarik’ dengan mempertimbangkan semua aspek dan keadaan sukar yang dilalui MAS sekarang.

“Bagi pemegang saham minoriti, ia merupakan tawaran jalan keluar yang menarik,” katanya.

Beliau berkata, penswastaan MAS sebenarnya akan memastikan peralihan yang lancar bagi penstrukturan semula dan melindungi pelabur daripada terdedah kepada kerugian yang teruk.

“Ini adalah alasan yang baik kenapa pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran itu,” katanya.

Ahmad Maghfur berkata, penyahsenaraian adalah langkah pertama yang diperlukan untuk penstrukturan semula berbeza kes sebelum ini apabila Petronas menswastakan Malaysian International Shipping Corporation (MISC).

“MISC adalah landskap berbeza ketika itu yang dengan melupuskan bahagian kapal kontena yang mengalami kerugian. Industri perkapalan pada ketika itu berada di paras bawah sekali pada kitarannya dan hanya boleh meningkat,” katanya ketika mengingati kembali langkah yang dibuat pada 1990-an itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 AM