CLINI (dua dari kiri) bersama Pengerusi BAT Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (dua dari kanan) selepas AGM syarikat itu, semalam.
CLINI (dua dari kiri) bersama Pengerusi BAT Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (dua dari kanan) selepas AGM syarikat itu, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) akan beroperasi seperti biasa di negara ini, walaupun berlaku penutupan kilangnya secara berperingkat sehingga 2017.

Pengarah Urusan BAT Malaysia Stefano Clini berkata, penutupan kilang itu kelak tidak menjejaskan operasi BAT di Malaysia, malah merealisasikan model perniagaan baharu syarikat itu.

Katanya, ramai beranggapan penutupan kilang BAT Malaysia bermakna operasi syarikat di negara ini berakhir.

“Ia sama sekali tidak benar kerana ini hanyalah salah satu langkah yang perlu diambil syarikat bagi penstrukturan semula BAT Malaysia yang berdepan kenaikan mendadak pasaran rokok seludup dan kadar cukai eksais lebih tinggi.

“Dengan penutupan kilang itu nanti, produk tembakau untuk pasaran domestik akan dibekalkan kilang Kumpulan BAT dari Indonesia, Singapura dan Korea Selatan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAT Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, pemegang saham BAT Malaysia juga menerima baik cadangan pengubahsuaian operasi di Petaling Jaya bagi memastikan kelangsungan syarikat berdaya saing dalam pasaran.

Clini berkata, berdasarkan firma penyelidikan Nielsen dalam Kajian Rokok Seludup (ICS) setakat Disember 2015 menunjukkan penggunaan rokok seludup di negara ini meningkat kepada paras paling tinggi iaitu 45.6 peratus.

Beliau berkata, bagaimanapun, BAT Malaysia mengukuhkan penguasaan pasaran dengan kenaikan 0.9 peratus kepada 62.1 peratus pada 2015.

“Kami mengunjurkan pada 2016, pasaran rokok seludup terus meningkat terutama dengan kenaikan cukai dan tiada usaha aktif diambil menangani isu ini.

“Keutamaan kami tahun ini adalah mengekalkan momentum untuk melabur dalam mengukuhkan portfolio dan membina model perniagaan yang memenuhi permintaan, sekali gus memberi nilai kepada pemegang saham,” katanya.

BAT Malaysia mengumumkan dividen interimnya 78 sen sesaham menjadikan jumlah bersih dividen dibayar berjumlah 312 sen sesaham bagi tahun kewangan 2015 meningkat 1.0 peratus berbanding 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 11:40 AM