Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kelana Jaya

Malaysian Airline System Bhd (MAS), memperoleh mandat jelas selepas majoriti pemegang sahamnya menerima tawaran 27 sen sesaham mengikut Akta Syarikat 1965 Seksyen 60 dan 64 (Cadangan SCR).

Pengerusinya, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, kini MAS mendapat mandat lebih jelas terutamanya Khazanah Nasional Bhd.

“Rasa amat lega sekali dan ini bakal menjadi satu tempoh yang menarik bagi syarikat penerbangan MAS pada masa akan datang. Pelan perniagaan baru itu sedang diusahakan,” katanya selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini, semalam.

Mesyuarat yang bermula pada jam 10 pagi berakhir pada jam 4.15 petang.

Md Nor berkata, pembayaran kepada pemegang saham dijangka selesai akhir tahun ini

Majoriti pemegang saham MAS mengundi memilih resolusi bagi cadangan pengurangan modal berpilih dan pembayaran semula pada mesyuarat terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, cadangan SCR menawarkan kepada pemegang saham minoriti peluang untuk keluar pada premium berbanding harga semasa saham MAS, agar tidak tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan yang berkaitan dengan pelaksanaan penstrukturan oleh pihak pengurusan MAS.

“Keputusan oleh pemegang saham minoriti ini untuk menyokong cadangan SCR adalah berdasarkan pandangan bahawa harga tawaran adalah adil dan munasabah seperti yang dinyatakan oleh penasihat bebas, AmInvestment Bank Berhad, dalam surat nasihat bebas bertarikh 15 Oktober 2014 dan juga cadangan pengarah bebas daripada MAS untuk mengundi memihak kepada cadangan SCR.

“Kelulusan pemegang saham kami adalah rintangan pertama tetapi ada banyak lagi yang perlu dilakukan. Kami berharap untuk melengkapkan proses SCR sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Menurutnya, tidak akan ada gangguan kepada operasi MAS dan penerbangan akan berterusan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:04 AM