Kuala Lumpur: Keputusan sama ada membuat bidaan ke atas 13 aset tenaga, cabang tenaga 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Edra Global Energy Bhd (Edra) akan diputuskan oleh pemegang saham minoriti pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) selepas memperoleh lampu hijau daripada Edra.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Azman Mohd berkata, langkah itu diambil bagi memastikan ketelusan.

“Kami akan terbabit memandangkan ia aset tenaga, yang juga teras kami dan sejauh mana pembabitan kami, ia perlulah munasabah dari segi komersial.

“Keputusan sama ada kami berjaya membeli pada harga tertentu... perlu menerusi EGM, dengan pemegang saham minoriti mengundi, bukan kami (lembaga pengarah),” katanya selepas merasmikan sesi forum Pembangunan Negara ‘Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat Malaysia’ sempena Hari Terbuka GLC 2015, di sini, semalam.

Pada 15 Julai lalu, TNB mengemukakan cadangan untuk mengambil alih lima aset tenaga domestik dan lapan aset tenaga antarabangsa Edra.

Mengenai penyusutan nilai ringgit, Azman berkata, ia turut menjejaskan aktiviti pelaburannya dari segi tukaran asing dan perbelanjaan modal.

“Ia menjejaskan bukan sahaja kami, malah semua pihak lain. Namun ia masih boleh diurus memandangkan kami menjangkakannya dan sudah berusaha yang terbaik,” katanya.

Pada Jumaat, harga saham TNB di Bursa Malaysia meningkat dua sen kepada RM11.40. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 7:17 AM