TIM ketika taklimat media tahunan di Courts Setapak, Jalan Genting Kelang.
TIM ketika taklimat media tahunan di Courts Setapak, Jalan Genting Kelang.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Courts (Malaysia) Sdn Bhd (Courts) memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi perancangan peluasan projek pengubahsuaiannya membabitkan 15 cawangannya di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Luce berkata, setakat ini pihaknya sudah membuka enam cawangan dan mengubahsuai 11 rangkaian menjadikan jumlah keseluruhannya 63 cawangan Courts di seluruh negara.

Katanya, Courts Malaysia turut merancang membuka cawangan baru menjelang separuh kedua tahun ini menerusi peruntukan RM15 juta terbabit.

“Kami komited untuk menjadi destinasi pilihan membeli-belah bagi produk kediaman dan gaya hidup pada harga mampu milik. Selain itu, Courts juga memperkenalkan kempen terbaru kami iaitu Senang Sahaja, Courts Ada yang menawarkan harga menarik kepada orang ramai.

“Malah, sempena hari raya ini, Courts turut melancarkan kempen fasa ketiga kami iaitu Rebut Ria, Senang Raya dengan tawaran sehingga 80 peratus bagi diskaun tunai,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Menurutnya, Malaysia kekal sebagai pertumbuhan pasaran utama kepada syarikat berikutan populasi, pemilikan rumah dan purata pendapatan yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:12 AM