Oleh Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Beberapa individu di negara ini dipercayai terbabit memanipulasi fakta dan mengedarkannya kepada media tempatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat itu diperoleh menerusi siasatan awal Kerajaan Thailand ke atas bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Justo.

"Siasatan awal mendapati, ada beberapa personaliti di Malaysia, meminta supaya Xavier memanipulasi fakta dan maklumat mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Masjid Terapung Durian Daun dan Penyampaian Sumbangan Ramadan di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah, di sini, sebentar tadi.

Katanya, siasatan awal ke atas Xavier masih diteruskan kerajaan Thailand dan apabila selesai nanti, siasatan akan disambung pihak berkuasa Malaysia ke atas individu yang dikatakan ada kaitan dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 8:56 PM