Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi ruang menyiasat mengenai pengakuan bekas eksekutif PetroSaudi InternationalLtd (PSI) Xavier Andre Justo yang dilaporkan media baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata, SPRM sedia bekerjasama dengan pihak polis berhubung kes Justo.

“Tetapi memandangkan PDRM membuka kertas siasatan terhadap kes itu, jadi pihak polis perlu diberi ruang menjalankan siasatan.

“Sekiranya PDRM menemui unsur berkaitan rasuah dalam kes itu, pihak polis boleh meneruskan siasatan kerana mereka juga mempunyai kuasa terhadap kes berunsur rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Namun, Azam berkata, sekiranya PDRM berpendapat kes itu wajar disiasat SPRM, pihaknya bersedia bekerjasama dengan pihak polis.

Malah, katanya, pihaknya memohon bantuan polis mendapatkan akses bagi mendapatkan keterangan daripada Justo yang kini ditahan di penjara Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:36 AM