KETUA Polis Negara
KETUA Polis Negara
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Beberapa pemimpin pembangkang negara ini akan dipanggil untuk membantu siasatan berikutan pendedahan polis Thailand berhubung siasatan terhadap bekas pengarah PetroSaudi, Xavier Andre Justo.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abu Bakar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan akan memanggil pemimpin pembangkang yang berjumpa Justo di Singapura sebelum ini.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat polis Thailand semalam amat serius dan polis sudah memulakan siasatan serta akan mendedahkannya dalam masa terdekat

"Apa yang didedahkan polis Thailand semalam adalah sesuatu yang mengejutkan dan ianya membabitkan beberapa rakyat di Malaysia. Semua pendedahan itu akan dijadikan sebagai satu laporan polis.

"Semua individu ini akan dipanggil untuk memberi keterangan untuk membantu dalam siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka bersama ketua polis negara di Bukit Aman, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Khalid berkata, PDRM akan berkerjasama dengan polis Thailand untuk mendapatkan lebih maklumat bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut laporan polis Thailand semalam, Justo mengaku bertemu dengan pemimpin pembangkang negara ini dan menjual maklumat sulit berkenaan Syarikat PetroSaudi.

Jurucakap polis Thailand Leftenan General Prawut Thavornsiri berkata, Justo bagaimanapun enggan menyatakan nama individu yang ditemuinya kepada polis.

Katanya, Justo bertemu dengan individu berkenaan untuk berunding mengenai penjualan dokumen PetroSaudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2015 @ 1:12 PM