Ledang: Nilai eksport produk halal negara dicatatkan sebanyak RM16.1 bilion pada tahun lalu ke lima negara utama, berbanding nilai pasaran dunia bagi produk berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM7 trilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri berkata, eksport tertinggi ialah ke China dengan jumlah RM4.6 bilion.

“Kedua tertinggi ialah Singapura dengan nilai eksport RM3.6 bilion diikuti Amerika Syarikat (RM3.4 bilion), Indonesia (RM2.3 bilion) dan Jepun (RM2.2 bilion).

“Masih banyak peluang pasaran produk halal ke negara lain di dunia yang boleh ditembusi dan kerajaan sedang giat mempromosikan negara ini sebagai antara pengeluar produk halal,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Orang Tua di Parit Bunga di sini, semalam.

Sempena lawatan itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada kira-kira 30 penghuni pusat jagaan itu sempena Ramadan.

Hamim berkata, produk halal keluaran negara ini semakin mendapat permintaan tinggi terutama dari China.

Katanya, beliau sempat melawat beberapa pasar raya yang diusahakan penduduk Islam di China dan mereka mengatakan sukar mendapatkan produk halal kerana penawarannya terhad.

“Penduduk Islam di China dianggarkan seramai 50 juta orang dan kesedaran mereka terhadap penggunaan produk halal semakin meningkat.

“Negara berkenaan meminta kerajaan supaya dapat mengeksport produk halal Malaysia ke negaranya menerusi pertubuhan atau Majlis Dagang Islam Negeri China,” katanya.

Beliau berkata, produk halal negara memerlukan promosi dan tanpanya, pihak luar tidak akan mengetahui kewujudan produk berkenaan di negara ini serta di mana untuk mendapatkannya.

Katanya, kefahaman mengenai keperluan produk halal sangat penting walaupun Malaysia adalah penyedia sijil produk halal yang diakui dunia tetapi promosi perlu dilakukan secara berterusan.

“Terdapat dua usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti produk halal di negara ini iaitu dengan menjaga standard sijil halal dan menjamin keselamatan produk yang dihasilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 6:32 AM