Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Halal Industry Development Cooperation Sdn Bhd (HDC) menjangkakan nilai eksport produk halal tahun ini sama seperti dicatatkan pada 2014 iaitu RM37.7 bilion berikutan situasi ekonomi global tidak menentu.

Eksport halal Malaysia mencatatkan peningkatan daripada RM32 blion pada 2013, kepada RM37.7 bilion pada 2014 yang sektor makanan menjadi peneraju utama dalam peningkatan angka eksport iaitu RM15.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin berkata, keadaan ekonomi luaran mempengaruhi ekonomi negara, eksport produk halal Malaysia antaranya China yang berdepan cabaran ekonomi boleh memberi kesan kepada prestasi dagangan dalam sektor berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ketika ini kejatuhan harga minyak dan kemerosotan ringgit memberi peluang kepada sektor halal berkembang, tetapi prestasi luaran lain turut memberi kesan kepada dagangan halal tahun ini.

“China negara terpenting dalam dagangan halal, tetapi kita juga melihat beberapa negara lain yang berpotensi memperluaskan pasaran eksport halal negara antaranya Indonesia yang kini menduduki tempat keempat negara terbesar mengeksport produk dalam sektor berkenaan dengan nilai RM2.3 bilion pada 2014.

“Di Indonesia, kita boleh memperluaskan eksport halal dalam sektor makanan dan minuman dan ramuan halal kerana mereka mempunyai jumlah penduduk ramai yang meningkatkan permintaan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Pada 2014, HDC meletakkan sasaran eksport RM34 bilion dan angka itu meningkat kepada RM37.7 bilion berikutan permintaan produk makanan dan minuman mendapat permintaan tinggi daripada pasaran global.

Jamil berkata, pada tahun ini, pihaknya mengenal pasti pasaran India, Bangladesh dan Pakistan sebagai lokasi yang boleh diteroka dengan lebih meluas memandangkan terdapat lebih 500 juta penduduk bagi ketiga-tiga negara berkenaan yang boleh memberi kesan kepada permintaan pasaran.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa mengadakan aktiviti mempromosi dagangan ke luar negara termasuk di negara terbabit dan syarikat tempatan boleh mengambil kesempatan untuk menerokai pasarannya terutama dalam sektor makanan dan minuman, ramuan halal serta kosmetik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:13 AM