Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Halal Industry Development Cooperation Sdn Bhd (HDC) menjangkakan sekurang- kurangnya 300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menerima persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setiap tahun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, setakat ini terdapat 5,500 syarikat PKS yang mendapat sijil halal dan 801 daripadanya sudah menembusi pasaran eksport bagi produk halal ke peringkat antarabangsa.

Katanya, menerusi kerjasama HDC bersama SME Corp dan Nestle (Malaysia) Berhad yang mewujudkan Program SME Mentoring, terdapat 350 peserta daripada 250 syarikat PKS sudah menyertai program itu bagi membantu meningkatkan kepakaran mereka dalam industri halal.

“Menerusi program ini juga peserta didedahkan dengan terperinci mengenai peluang pasaran, syarat serta proses yang harus dilalui dalam usaha menembusi pasaran berskala besar termasuk syarikat multinasional.

“Kami mahu lebih banyak PKS di negara ini mengambil peluang yang ada dengan menggunakan sebaik mungkin kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan supaya mereka bersedia menyertai industri halal global,” katanya pada sidang media di majlis penghargaan SME Mentoring di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalannya Datuk Ir Hamim Samuri dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

Jamil Bidin berkata, HDC menjangkakan nilai eksport produk halal tahun ini sama seperti dicatatkan pada 2014 iaitu RM37.7 bilion berikutan situasi ekonomi global tidak menentu.

“Jumlah ini sebenarnya masih kecil walaupun kita bergabung dengan Thailand, New Zealand dan negara pengeksport produk halal lain kerana jurang perbezaan permintaan berbanding bekalan (20 peratus) sekarang adalah 80 peratus dengan nilai kira-kira AS$654 bilion,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, PKS perlu bersedia untuk menjadi pengeksport dan melalui program SME Mentoring ini, PKS akan mendapat bimbingan yang bersesuaian dan lengkap bagi menghadapi cabaran di pasaran halal antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:02 AM