MIKEL Areta. FOTO AFP
MIKEL Areta. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta menggesa Arsenal untuk meningkatkan prestasi mereka ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bersiap sedia untuk detik penentu dalam perebutan kejuaraan menentang pesaing London utara, Tottenham.

Skuad bimbingan Arteta akan berkunjung ke Spurs esok dengan misi untuk menang sekali gus kekal di tangga teratas mengatasi Manchester City.

The Gunners mempunyai kelebihan satu mata berbanding City di tempat kedua, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan, dan akan menentang Nottingham Forest di tempat lawan sejurus selepas wisel penamat di utara London.

Selepas kekalahan teruk di tempat sendiri menentang Aston Villa, skuad bimbingan Arteta bangkit dengan menang di Wolves dan menumpaskan Chelsea 5-0.

Tetapi bos Arsenal itu menyedari ancaman daripada Tottenham di tangga kelima, yang seri 2-2 di Stadium Emirates pada September lalu.

"Nikmati saat ini. Tottenham sangat kompetitif pada masa ini. Ada satu perkara yang perlu dilakukan dalam situasi sekarang, bersaing, bersaing dan terus bersaing," kata Arteta kepada pemberita.

"Ia satu petanda yang sangat baik kerana kami tahu apa yang perlu kami lakukan untuk menang dan kami perlu tingkatkan tahap permainan," katanya lagi.

City membalas kemenangan meyakinkan Arsenal menentang Chelsea dengan menumpaskan Brighton 4-0.

Skuad bimbingan Pep Guardiola akan dinobatkan sebagai juara untuk musim keempat berturut-turut yang tidak pernah berlaku sebelum ini jika mereka memenangi lima perlawanan terakhir mereka.

Tetapi Arteta enggan ambil pusing mengenai lawan mereka, sebaliknya lebih gemar memastikan pasukannya memberi tumpuan kepada persembahan mereka sendiri.

"Ia satu lagi perlawanan yang mereka berjaya menangi dengan cara yang meyakinkan, sesuatu yang kami tidak boleh kawal. Ayuh lakukan apa yang perlu kami lakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 8:44 AM