DR Mohd Shahreen
DR Mohd Shahreen
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerusi penyertaan dalam Pameran Dagangan dan Pelaburan Lanzhou 2017 di China pada 6 hingga 9 Julai ini bakal membuka peluang pasaran baru bagi memperkukuhkan sektor halal dalam kalangan usahawan tempatan.

Antara sektor yang akan dipromosikan sepanjang pameran termasuk produk makanan dan minuman, pelancongan kesihatan, perkhidmatan pelancongan serta produk dan perkhidmatan berkaitan industri halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata, penyertaan peserta industri dari Malaysia dalam acara seumpama itu peluang terbaik kepada mereka mempromosi dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan halal dimiliki mereka.

“Pameran di Lanzhou membolehkan kita menembusi pasaran Muslim sekitar wilayah Gansu seperti Ningxia, Qinghai, Xinjiang dan wilayah berdekatan lain.

“Matrade menerusi pelbagai inisiatif promosi eksport terus mempertingkatkan eksport Malaysia ke China memandangkan kepentingannya kepada syarikat Malaysia khususnya usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dalam empat bulan pertama tahun ini, dagangan Malaysia dengan China menunjukkan pertumbuhan 32.7 peratus menjadi kepada RM91.36 bilion.

Eksport meningkat 42.5 peratus kepada RM39.27 bilion dan import berkembang 26.1 peratus kepada RM52.09 bilion.

Pameran dagangan yang berlangsung empat hari itu dihadiri 90 wakil dari 31 syarikat tempatan dan pelbagai agensi kerajaan diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata, penyertaan kali ini dianggap bermakna apabila kerajaan China mengiktiraf Lanzhou sebagai satu daripada hab dagangan halal negara berkenaan di samping berperanan sebagai pintu masuk strategik untuk produk halal.

“Malah, Lanzhou juga adalah hab pengangkutan utama serantau China yang menghubungkan kawasan barat melalui jalan kereta api ke sebahagian wilayah di timur China yang memberi kelebihan dalam aktiviti dagangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 4:13 AM