Hamim  (tengah)  pada majlis pelancaran Halal Ingredients Asia 2015 dan mengumumkan logo Halal Ingredients Asia 2015.
Hamim (tengah) pada majlis pelancaran Halal Ingredients Asia 2015 dan mengumumkan logo Halal Ingredients Asia 2015.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) optimis eksport pasaran produk halal negara akan melepasi RM32 bilion tahun ini walaupun berdepan dengan situasi kejatuhan nilai ringgit serta penurunan harga minyak mentah dunia.

Ini berikutan kelemahan kedua-dua sektor berkenaan memberi kesan positif kepada peningkatan perdagangan produk halal ke pasaran asing memandangkan negara pengimport boleh membeli dengan harga murah serta meningkatkan kapasiti pengeluaran dari Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Hamim Samuri berkata, ramuan halal menjadi sektor terpenting eksport itu memandangkan ketika ini Malaysia menjadi pengeksport utama dunia dan ia belum banyak diterokai oleh negara lain berbanding sektor makanan dan minuman.

Beliau berkata, setakat separuh pertama 2014, sektor ramuan halal menyumbang RM6 bilion kepada jumlah keseluruhan eksport berjumlah RM18 bilion dan dijangka berkembang tahun ini.

“Semua produk halal memerlukan ramuan bagi dikeluarkan ke pasaran dan buat masa ini hanya Malaysia yang menjadi peneraju dalam sektor ini memandangkan kita mempunyai kekayaan hasil minyak kelapa sawit dan diproses menerusi prosedur halal.

“Kita juga menerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal Sdn Bhd (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus menggalakkan pengeluaran ramuan halal di kalangan pemain industri tempatan memandangkan ketika ini ia didominasi oleh syarikat berstatus multinasional (MNC),” katanya pada majlis pra-pelancaran Acara Ramuan Halal Asia 2015 (HIA2015) di sini, semalam.

HIA 2015 akan berlangsung pada 22 hingga 23 September ini dan disertai oleh pelbagai pemain industri dalam sektor itu di rantau Asia bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Dalam acara yang dianjurkan oleh HDC dan UBM Asia itu, terdapat pelbagai aktiviti akan dilaksanakan antaranya jaringan perniagaan kepada perniagaan (B2B), persidangan dan pameran produk.

Hamim berkata, HDC dan Jakim menyasarkan 300 syarikat mendapatkan persijilan halal tahun ini dan 100 daripadanya terbabit dalam pengeluaran ramuan halal sekali gus merancakkan pengeluaran bahan itu dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 12:23 PM