OTHMAN  (kiri) bersama Pengurus Operasi Hal Ehwal Halal Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd, Sarifuddin Mahmud menunjukkan produk di Menara Surian, Mutiara Damansara.
OTHMAN (kiri) bersama Pengurus Operasi Hal Ehwal Halal Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd, Sarifuddin Mahmud menunjukkan produk di Menara Surian, Mutiara Damansara.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Nestle Malaysia Berhad (Nestle Malaysia) komited untuk terus membangunkan industri halal tempatan melalui kerjasama yang dijalinkan dengan pelbagai pihak bagi memastikan ia mencapai standard lebih tinggi dan mampu meningkatkan lagi industri itu dari semasa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa dan Hal Ehwal Halal Nestle Malaysia, Othman Md Yusoff berkata, industri halal menawarkan potensi pasaran baik dan mampu untuk berkembang memandangkan permintaan eksport produk halal global adalah bernilai kira-kira AS$30 hingga AS$40 bilion.

“Pasaran halal sentiasa ada, namun masih ramai individu yang belum faham mengenai konsep halal termasuk pensijilan halal di mana ia bukan sekadar tuntutan agama, malah mampu untuk menyumbang kepada amalan pengilangan baik dan peningkatan pasaran di Malaysia,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Nestle Malaysia adalah syarikat pengeluar makanan dan minuman halal sah diiktiraf pertama di Malaysia pada 1994 dan menjadi antara pemain halal penting untuk eksport produk ke negara rantau ASEAN dan Eropah dengan nilai dagangan kira-kira RM1 bilion.

Beliau berkata, syarikat sentiasa memperkasakan industri halal bukan sahaja untuk Nestle malah turut menjalinkan kerjasama dengan pihak lain seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) selain berkongsi pengetahuan berkaitan halal dengan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) apabila menjadi salah satu ahli jawatankuasa halal bagi entiti terbabit.

“Kami turut memberi komitmen jitu kepada usaha membangunkan industri halal di peringkat global di mana kami turut menyertai persidangan halal untuk memberi kesedaran mengenai halal di Jepun, China, Singapura, Jepun dan lain-lain,” katanya.

Othman berkata, syarikat bukan sahaja menjadi perintis konsep pensijilan halal di Malaysia, malah turut dijadikan rujukan untuk pasaran antarabangsa bagi Nestle global di atas kepakaran dalam bidang halal.

“Untuk kami, pembabitan halal Nestle Malaysia membolehkan kami memperkembangkan lagi kepakaran untuk dikongsi bersama Nestle di negara lain dan apa paling penting buat perniagaan di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nestle Malaysia menyeru supaya perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan menyahut cabaran untuk mendapatkan pensijilan halal daripada pihak berwajib kerana ia mampu membantu syarikat berdaya saing dalam menerokai pasaran antarabangsa.

“Saya akui agak mencabar untuk memulakan proses mendapatkan pensijilan halal ini, namun ia menjamin pulangan positif kepada syarikat PKS memandangkan eksport halal negara sudah meningkat kepada kira-kira RM13 bilion pada tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 6:32 AM