Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin prestasi eksport produk halal negara kembali kukuh dengan sasaran nilai eksport mencecah RM40 bilion tahun ini.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, keyakinan itu berdasarkan pelbagai usaha dilakukan kementerian bagi pemulihan ekonomi pasca pandemik bersama-sama 13 agensi termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang menumpu kepada industri halal tempatan dan global.

Menurutnya, pembukaan ekonomi dan sempadan negara secara menyeluruh pada 1 April lalu turut membantu ke arah mencapai sasaran itu dengan produk halal dieksport ke luar negara meliputi barangan penjagaan diri, farmaseutikal, kosmetik, makan dan minuman serta ramuan halal.

"Sebelum pandemik, jumlah eksport halal negara pernah mencapai RM40 bilion berbanding pada 2021 sebanyak RM36.3 bilion dan 2019 (RM30.5 bilion).

"Saya percaya dengan usaha dilakukan oleh MITI dan HDC serta pembukaan ekonomi yang menyeluruh dan sempadan negara, eksport halal akan kembali kukuh seperti sebelum ini dan mencecah RM40 bilion," katanya sambil menambah negara pengimport produk halal utama negara ialah China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Komputer Meja Kepada Sekolah-Sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang sumbangan HDC di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Klebang, di sini petang tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffien Sahari dan Ketua Sumber Manusia, Pentadbiran dan Teknologi Maklumat HDC, Inrashahrin Ishak.

Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Klebang berkata, setakat ini taman industri halal Malaysia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM16.3 bilion sejak 2011.

"Daripada jumlah itu, RM9.6 bilion atau 59 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM6.7 bilion (41 peratus) ialah pelaburan langsung domestik (DDI).

"Tahun lalu pula jumlah pelaburan langsung ke taman industri halal Malaysia ialah RM210 juta," katanya.

Sementara itu katanya, Halal Hub Melaka (HHM) di Serkam, Jasin, pula menarik pelaburan RM153.74 juta meliputi FDI dan DDi masing-masing RM64.83 juta dan RM88.91 juta setakat ini.

"Tahun lalu, HHM menerima pelaburan dengan anggaran nilai pelaburan domestik berjumlah RM26 juta," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, HDC turut bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) dalam menawarkan program pensijilan Halal Apprentice selama enam bulan secara percuma.

"Setakat ini 50 orang sudah dilatih melalui program ini dan diberi sijil yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta mendapat penempatan kerja di industri halal seluruh Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 9:05 PM
BAN Hong (tengah) menyampaikan komputer meja kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai, Rosmica Ramli, di Kompleks Japerun Klebang. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
BAN Hong (tengah) menyampaikan komputer meja kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai, Rosmica Ramli, di Kompleks Japerun Klebang. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad