HAIROL Ariffein memaklumkan industri halal Malaysia terus menunjukkan ketahanan hasil asas yang kuat walaupun berdepan ketidakpastian.
HAIROL Ariffein memaklumkan industri halal Malaysia terus menunjukkan ketahanan hasil asas yang kuat walaupun berdepan ketidakpastian.
Bisnes Metro


Petaling Jaya: Malaysia mencatatkan peningkatan RM200 juta atau 1.25 peratus dalam pelaburan domestik bagi taman halal pada tahun lalu, memberi petunjuk bahawa industri halal tempatan terus berkembang walaupun berdepan pelbagai cabaran pasaran.

Sehingga kini jumlah pelaburan yang dicatatkan mencecah RM16.1 bilion sejak 2011 di mana 59 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM9.5 bilion dan RM6.6 bilion (41 peratus) adalah dari pelaburan langsung domestik (DDI).

Ketika ini, 295 syarikat sedang beroperasi di 21 taman halal di seluruh negara dengan 42 syarikat berstatus multinasional (MNC) dan 253 adalah syarikat tempatan.

Berdasarkan data dan analisis yang dijalankan HDC bagi tahun lalu, Singapura muncul sebagai pengimport terbesar produk halal Malaysia dengan jumlah RM4.10 bilion, mengetepikan China yang berada di kedudukan kedua dengan nilai RM3.44 bilion.

Amerika Syarikat (AS) berada di kedudukan ketiga negara pengimport produk halal Malaysia dengan nilai RM1.74 bilion tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, pada awalnya eksport halal tahunan Malaysia diramalkan mampu mencapai sekitar RM42 bilion pada tahun lalu, namun melihat kenyataan bahawa tahun lalu menjadi tahun yang sangat mencabar, dengan turun naiknya harga minyak global dan perang berterusan terhadap Covid-19, jumlah yang direkodkan juga adalah membanggakan.

"Walaupun berdepan ketidakpastian ini, industri halal Malaysia terus menunjukkan ketahanan hasil asas yang kuat.

"Di HDC, kami melihat terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan, terutama dalam landskap pengeksport Malaysia. Kami berhasrat untuk meningkatkan lagi penguasaan pasaran halal Malaysia melalui program strategik di tengah-tengah masa yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Penurunan nilai eksport halal juga selaras dengan pengurangan 19 peratus dalam jumlah pengeksport halal Malaysia, dari 1,876 pada 2019 menjadi 1,507 pada tahun lalu.

Selain daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penurunan ini juga sesuai dengan garis masa naik taraf sistem untuk proses pensijilan halal, untuk memudahkan pembaharuan dalam talian dan penyerahan dokumen sokongan secara maya.

Dari segi sumbangan sektoral, Makanan & Minuman Halal terus menjadi penyumbang utama ekonomi halal Malaysia dengan nilai keseluruhan RM17.40 bilion, diikuti oleh Bahan Halal (RM8.83 bilion), Kosmetik & Penjagaan Peribadi (RM2.67 bilion), Derivatif Kelapa Sawit (RM0.89 bilion), Bahan Kimia Industri (RM0.47 bilion) dan Farmasi Halal (RM0.30 bilion).

Menurutnya, beberapa inisiatif sudah disusun untuk meningkatkan pasaran halal, termasuk pengenalan unit komersial HDC Halal Parks, Halal Integrated Platform (HIP), Halal Training Institute dan Halal Consultancy & Advisory untuk menarik sekurang-kurangnya 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk masuk dalam industri.

"Standard taman halal yang baharu juga dalam proses dan akan diperkenalkan oleh HDC akhir tahun ini sebagai cara untuk mewujudkan standard operasi taman halal yang lebih tersusun.

"Oleh kerana ruang di taman halal Malaysia semakin terhad, kami menyedari kami memerlukan model bersepadu baharu yang lebih pintar untuk menjadi asas bagi pembangunan taman halal baharu di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 8:05 AM