Manila: Lapan daripada 10 rakyat Filipina bimbang perebutan wilayah di Laut China Selatan akan membawa kepada pertelingkahan bersenjata dengan negara paling ramai penduduk.

Kajian pendapat yang dijalankan Agensi Kaji Sosial yang berpusat di Manila mendapati, kebimbangan itu menghantui perasaan rakyat Filipina sejak Filipina mengambil sikap berlembut berikutan ketegangan dengan China berhubung penguasaan di sekitar Beting Scarborough yang kaya dengan sumber laut pada 2012.

Kajian itu menunjukkan 84 peratus daripada 1,200 responden bimbang mengenai konflik bersenjata dengan China.

Kajian serupa dilakukan setiap tahun sejak 2012 dan setiap kajian itu menunjukkan sekurang-kurangnya 80 peratus responden bimbang perebutan wilayah di rantau itu akan membawa kepada peperangan.

Mengulas mengenai keputusan kajian itu, jurucakap presiden Abigail Valte berkata: “Adalah perkara biasa bagi kita untuk bimbang terhadap konflik bersenjata kerana ia tidak akan membawa faedah kepada sesiapa.

“Kerana itu kerajaan Filipina berusaha menyelesaikan pertikaian itu secara aman.”

Ketegangan Beting Scarborough berakhir dengan Beijing menguasai kawasan perikanan yang terletak 220 kilometer dari Luzon, pulau utama Filipina dan 650 kilometer dari Hainan, pulau paling hampir dengan tanah besar China. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:50 AM