Duterte
Duterte
AFP

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata, dia tidak boleh melarang China melaksanakan pembinaan di beting di luar pantai barat negaranya kerana negara itu terlalu kuat.

Datuk bandar Sansha di China baru-baru ini berkata, Beijing akan membina stesen pemantauan alam sekitar di Beting Scarborough, yang China rampas daripada Filipina pada 2012.

“Kita tidak boleh menghentikan China daripada berbuat demikian.

“Apa yang kamu hendak saya lakukan? Isytihar perang dengan China? Saya tidak boleh.

“Kita akan hilang semua anggota tentera dan polis sehari selepas kita isytiharkan perang dan negara kita akan musnah,” kata presiden itu pada sidang akhbar sebelum dia berlepas untuk lawatan ke Myanmar.

Bagaimanapun, menurut Duterte, dia akan memberitahu kerajaan China: “Biar kawasan perairan itu terbuka dan jangan ganggu pengawal pantai kita.”

Presiden Filipina itu turut mengenepikan kebimbangan mengenai kapal kajiukur China yang dilihat berhampiran Benham Rise - kawasan perairan di timur Luzon, pulau utama negara itu yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai hak mutlak wilayah Filipina.

“Apa salahnya mereka (China) berada di situ. Mereka mengakui ia wilayah Filipina. Itu pun kamu masih tidak berpuas hati,” katanya kepada wartawan.

Duterte menyifatkan aduan mengenai China sebagai usaha membesar-besarkan isu yang remeh.

Menurutnya, dasar kerajaan sekarang berbaik-baik dengan China menguntungkan Filipina.

“Ekonomi kita semakin meningkat kerana bantuan China. Kenapa kamu harus malu jika ada kapal mereka melalui wilayah kita?” tanya Duterte.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 7:42 AM