Manila: Tentera laut Jepun dan Filipina dijadual menjalani latihan ketenteraan berhampiran satu kawasan terumbu di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan China.

Latihan pada 12 Mei itu adalah yang pertama membabitkan kedua-dua negara dan sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani pada Januari lalu bagi menguatkan kerjasama keselamatan.

Aktiviti itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada China kerana sebelum ini Filipina pernah menjalani latihan yang sama dengan tentera Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kehadiran kapal perang Jepun di Laut China Selatan memberi petunjuk pengaruh Tokyo semakin meningkat di rantau itu.

Sumber berkata, latihan itu diadakan berhampiran Terumbu Scarborough yang ditawan China pada 2012 selepas berlaku perebutan selama tiga bulan dengan Filipina.

Keadaan itu dijangka meningkatkan kemarahan China selepas Beijing dikritik hebat kerana menambak tanah di kawasan terumbu karang itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:35 AM