DUTERTE
DUTERTE
Reuters

Manila: Tahap kepercayaan dan puas hati terhadap kepimpinan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte jatuh ke tahap paling rendah sejak dia berkuasa dalam suku ketiga tahun ini.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat yang disiarkan kelmarin mendapati sentimen terhadap kepemimpinan Duterte masih positif.

Indeks kepuasan yang digunakan firma Stesen Cuaca Sosial (SWS) untuk mengukur prestasi Duterte, jatuh 18 mata dari suku kedua kepada 48.

Namun, tahap itu masih dianggap baik dalam kajian yang meliputi 1,200 responden dan dijalankan pada minggu terakhir September.

Indeks kepercayaan yang mengukur sentimen awam terhadap personaliti Duterte pula berada di paras ‘sangat baik’ di 60 mata turun daripada paras ‘cemerlang’ dengan 75 mata dalam kajian sebelumnya.

Kajian itu dijalankan beberapa hari selepas ribuan penduduk membuat tunjuk perasaan mengecam kempen antidadah Duterte yang meragut ribuan nyawa.

Kajian SWS pada September lalu menunjukkan keraguan rakyat mengenai kesahihan jumlah rasmi 3,800 kes suspek dadah yang ditembak mati oleh polis.

Bagaimanapun, kajian itu tidak meminta responden memberi alasan dalam menilai prestasi Duterte yang berkuasa sejak Jun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 8:46 AM