Skuad skuasy negara membuktikan diri sebagai jaguh rantau ini dengan menyapu dua pingat emas acara lelaki dan wanita berpasukan Sukan SEA sekali gus membantu kontinjen negara mengumpul 44 emas keseluruhan semalam untuk mengatasi pencapaian di Myanmar (43) dua tahun lalu.

Pingat emas keempat dalam acara skuasy pada temasya edisi ke-28 itu diraih selepas Sanjay Singh Chal mengutip mata kedua skuad lelaki negara dengan menumpaskan atlet tuan rumah Vivian Rhamanan 11-4, 11-2, 11-2.

Terdahulu Malaysia mendahului 1-0 apabila Muhammad Addeen Idrakie Bakhtiar yang kecundang di tangan Sanjay pada final individu Rabu lalu mengetepikan saingan Samuel Kang 10-12, 11-8, 11-6, 11-9.

Bagi Addeen, 21, yang tampil pada Sukan SEA pertama cukup gembira dengan prestasinya apatah lagi selepas berehat panjang akibat kemalangan motosikal pada Mac lalu.

“Saya gembira kerana dapat membantu pasukan mempertahankan kejuaraan ini. Walaupun saya gagal membawa pulang dua pingat emas kali ini namun saya tetap berpuas hati dengan pencapaian saya di sini,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi bersama G Vanessa Raj yang menyumbang mata pertama skuad wanita untuk menundukkan Indonesia 2-0.

Vanessa yang meraih perak individu selepas tumpas kepada rakan sepasukan Rachel Arnold di final melupakan kekecewaan itu dengan mengatasi Yeni Siti Rohmah 11-7, 11-8, 11-3.

“Saya kecewa kerana gagal menang emas dalam individu tapi saya berazam untuk bangkit membantu pasukan dalam acara ini. Saya pernah memenangi emas berpasukan di Sukan Asia tapi pingat ini tetap berharga buat saya kerana ia pingat pertama saya di Sukan SEA,” katanya.

Sementara itu mata kemenangan berpasukan wanita negara disumbangkan oleh Rachel yang tidak berdepan masalah mengalahkan Catur Yuliana 11-8, 11-9, 11-4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:08 AM